Monday, July 26, 2010
Tuesday, July 20, 2010
Saturday, July 17, 2010
Sunday, July 11, 2010
Siapa yang bakal menang?
Bayangkan jika korang datang dari kurun terbaik, iaitu zaman ugama Islam sedang naik, zaman masjid solat subuh penuh macam solat jumaat, zaman orang islam pakat pakat tidur awal dan bangun awal pula di pagi hari untuk solat tahajjud, yang mana terdengar tangisan taubat dimalam hari laksana tebuan yang sedang terbang berdengung.., zaman semua orang lelaki keluar berdakwah jauh-jauh tinggal anak bini.., zaman perempuan berpurdah walaupun dalam gelap, bayangkan...
Err, bukan bayangkan perempuan berpurdah dalam gelap tu, maksud aku, bayangkan kegemilangan islam di zaman itu.., zaman dunia tunduk di bawah pemerinatah ‘kuku bersih’ ummat islam... zaman peniaga pakat-pakat meninggalkan kedai dan perniagaan sebaik azan berkumandang.., zaman budak budakpun jaga sembahyang, zaman perempuan cantik berjalan dimalam hari tanpa gangguan.., bayangkan..
Tengok?! Bukan bayangkan perempuan cantik berjalan di malam hari tanpa gangguan, maksud aku, bayangkan kegemilangan islam di zaman itu.., zaman orang arab berdakwah ke seluruh dunia, zaman 1000 tahun yang lampau, zaman yang mana apabila lelaki bertemu lelaki, mereka akan bercakap tentang kebesaran Allah, apabila perempuan bertemu perempuan juga, mereka akan bercakap tentang kebesaran Allah, dan apabila kanak-kanak bertemu kanak-kanakpun, mereka juga akan bercakap tentang kebesaran Allah..
Lalu di zaman itu, korangpun ikut serta pergi berdakwah ke seluruh dunia, ditakdirlan tuhan, korang ikut berdakwah dengan jemaah ke kutub utara.., dakwah orang eskimolah pulak.., sampai kat sana, sedang asyik korang berzikir atas bahtera, sekali kapal korang terlanggar iceberg, terus buat korang tercampak ke dasar lautan yang suhunya bawah paras beku, dan automatik korang terus jadi mayat beku macam ikan dalam peti ais, dan ditakdirkan tuhan, korang berada dalam zon “Suspended animation” atau apa nama ntah, macam "induced hibernation".., alahai macam Sylvester Stallone, dan Wesley Snipes dalam filem Demolition Man tu...
Nak dijadikan cerita, rakan pendakwah korang pulak tak jumpa cari korang di dasar kutub utara tu, maka berhabinasilah korang dalam kesejukkan yang menghentikan segala perjalanan darah dan denyutan jantung...
1000 tahun kemudian, korang dijumpai oleh orang Malaysia yang bakal mendapat gelaran dato’ dan juga bakal mendapat imbuhan jutaan wang ringgit, dapat nama serta glamor, iaitu rakyat Malaysia yang sibuk mengharumkan nama Negara dengan buat benda benda yang pelik pelik kat kutub utara, mungkin buat ABC (air batu campur) terbesar di dunia siap campur dengan tapai dan pulut, mungkin?
Lalu korang yang ter’jeruk’ dalam iceberg selama 1000 tahun itu dibawa pulang ke Malaysia, lalu dibawa masuk ke makmal kat Universiti Sains Malaysia, dan dengan kaedah sains, fizik, bio serta kimia, maka korang dapat dihidupkan kembali setelah jantung korang direnjat dengan elektrik, memandangkan segala jasad korang masih lagi elok sebab tak reput.., sama macam kes benar rakyat jepun Mitsutaka Uchikoshi pada tahun 2006, yang terperangkap dalam suhu sejuk tapi dapat hidup selama 24 hari tanpa makanan dan minuman akibat dari hypothermic state yang hampir sama dengan kes korang iaitu hibernation atau Suspended animation.. (maaf jika fakta sains aku tak tapat, moral: jangan ponteng kelas sains)
Di pendekkan cerita, korang pun terjaga dan terkejut melihat dunia yang sudah berubah, ada ala-ala kisah pemuda al kahfi gitu.., yang terjaga selepas ‘berhibernasi’ selama 300 tahun tu, jadi korang pun tanya, “kat mana aku ni?”.., dan legalah korang bila di beritahu bahawa korang berada di negara Malaysia, yang mana ugama rasminya islam, pemerintahnya islam, dan ramai rakyatnya juga berugama islam, juga ada sekolah islam, Universiti islam, Bank islam, penjaman islam, kedai makan islam, zoo islam, parti islam, penyanyi islam, kereta islam dan islam hadharipun ada..,
Bila dah sembuh, korang pun jalan jalan kat Malaysia, bila tiba waktu azan, korangpun sukalah sebab bukan main kuat lagi azan, satu bandar boleh dengar.., lepas tu korang ke masjid, wah.., bukan main besar lagi masjid, siap ada karpet, lampu antik, sejadah lembut dan saujana mata..,
Tapi.., bila solat, tak sampai satu saf?
Mana pergi rakyat malaysia yang berugama islam? Kenapa zaman aku dulu, masjid penuh sampai ke belakang.., tapi sekarang takde orang? (maaf, sebab agak cliché)
Lepas solat, korangpun pergi kedai makan, oh.., tahulah korang, kenapa masjid kosong, kat sini rupanya orang Malaysia sedang berkumpul.., penuh meja makan.., dan dalam semua kedai makan tu, ada TV besar, dan ada perlawanan bola secara langsung... Brazil lawan Chile...
Oleh sebab meja makan penuh, korangpun tunggulah dulu kat luar.., sambil berniat nak buat dakwah sikit, nak bercakap tentang iman dan ketuhanan, sebab zaman korang dulu, jika ada masa lapang, terus ajak kawan kawan duduk dalam majlis iman.., majlis bercakap tentang kehebatan dan kebesaran Allah..
Korangpun nampak satu orang makcik, dah tua dah.., bertudung dan sedang duduk baca katalog iklan pasaran islam.., korangpun tegur makcik tu, dan lepas tu korangpun nak bercakap tentang kebesaran Allah, lalu mulai dengan soalan yang korang akan jawab sendiri, iaitu..
“makcik tahu tak siapa yang paling kuat?”
Belum habis korang bercakap, makcik tu terus menyampuk, “serbuk pencuci X lah yang paling kuat dan handal menghapuskan kotoran, dengan sesudu sahaja, mampu menghilangkan segala kotoran degil!”
Terkejut berok korang dibuatnya, dan makcik tu juga terus ‘dakyah’ korang dengan macam macam lagi produk merujuk kepada katalog iklan tu.., “makluk A ni bagus,, Makhluk B ni hebat, makhluk C ni kuat”.., rupa-rupanya makcik tu adalah agen MLM yang sedang promote kehebatan produknya yang boleh bagi manfaat dan boleh bagi mudarat jika tak beli, lepas tu cerita tentang sistem piramid, ekonomi islam, dakyah yahudi dan kuasa boikot.., korangpun terus jadi takut dan blah..., sebab takut iman korang rosak melayan makcik yang dah jadi syirik sebab yakin dengan produknya boleh bagi manfaat, sedangkan yang boleh bagi manfaat dan mudarat adalah Allah.
Dah agak jauh dari makcik tu, korang terjumpa pulak budak-budak yang sedang lepak sambil membaca komik, korang rasa budak ni boleh ‘makan’ ni.., bolehlah aku meningkatkan keimanan dengan bercakap tentang kehebatan dan kebesaran Allah.. , korangpun tegur budak tu, dan macam tadi jugak, korangpun nak bercakap tentang kebesaran Allah, lalu mulai dengan soalan yang korang akan jawab sendiri, iaitu..
“adik tahu tak siapa yang paling kuat?”
Belum habis korang bercakap, budak tu terus menyampuk, “Naruto dari kampung Kanohalah”
Terkejut berok korang dibuatnya, Naroto menatang gapo tu? Lata dan uzza korang tahulah, ni nama berhala mana pulak ni? dan budak tu juga terus ‘dakyah’ korang dengan macam macam lagi kehebatan watak dalam komik yang dipegangnya .., “tapi Sasuke juga kuat bang, nenek Tsunadipun, Rock lee pun kuat, Akatsuki tak payah cakap ler, menang kuat sangat, Gaara lagi, dia tu Hokage.., Kakashi, dan pakcik Jairayapun.., semua kuatlah bang..
Araghh, korangpun mulai pening.., lepas tu azan berkumandang lagi, dan korangpun terus ke masjid, tinggalkan budak tu, tinggalkan kedai makan yang penuh sebab bola belum habis lawan lagi, dan sampai masjid, sama macam tadi, solat jemaah tak sampai satu saf.., imampun baca surah pendek, doa pendek dan terus cabut, mungkin nak tengok bola, dan tinggallah korang sorang diri dalam masjid..
Perut masih lapar, korangpun keluar dan masuk jugak kedai makan, tengok semua orang sedang menjerit jerit melihat bola, ada pulak satu kerusi kosong, dan korang pun duduk dekat satu brader yang sedang minum air teh tarik..
“Bro, kau tahu siapa yang paling kuat?”
Tanya brader tu pada korang, korangpun senyum sebab ada jugak orang yang nak bercakap tentang kehebatan dan kebesaran Allah, tapi belum sempat korang menjawab, brader tu dah jawab dah..,
Brazillah paling kuat bro, Pentacampeão! dah 5 kali dah mereka menang piala dunia, bab kata pepatah: The English invented it, the Brazilians perfected it.., tapi portugalpun kuat.., bla bla bla..
*******
Malam itu, ketika korang sedang iktikaf sorang diri di Majid, selepas solat tahajjud, korangpun berjalan mengambil udara segar seawal 3 pagi.., teringat korang pada kampung halaman, yang mana pada waktu begini, akan terdengar suara tangisan taubat di malam hari laksana tebuan yang sedang terbang berdengung.., lalu korangpun menyusuri perumahan islam di Malaysia, sunyi sepi, tiada tangisan kedangaran.., tiba tiba terdengar jeritan yang sungguh kuat!
“GOAL!!!”
Terkejut berok korang dibuatnya, hampir setiap rumah terdengar orang menjerit, “goal” dan ketawa , menyanyi serta menari.., korangpun cabut lari.. lari sejauh jauhnya, lari untuk selamatkan iman...
Sehinggalah korang tiba ke satu gua, dan korangpun tertidur keletihan.., ditakdirkan tuhan, korang pun tertidur lagi.., dan berlakulah hypothermic state, lalu terus ber hibernation dan kekal dalam Suspended animation..
*****
1000 tahun kemudian, sejarah berulang kembali.., korang sekali lagi diselamatkan oleh Rakyat Malaysia yang bakal mendapat gelaran dato’ dan juga bakal mendapat imbuhan jutaan wang ringgit, dapat nama serta glamer, iaitu rakyat Malaysia yang sibuk mengharumkan nama Negara dengan buat benda benda yang pelik pelik dalam gua, mungkin buat ABC pertama dalam gua yang di campur bersama sarang burung layang layang, mungkin?
Lalu korang yang ter’jeruk’ dalam gua selama 1000 tahun itu di masuk ke makmal kat Universiti Sains Malaysia, dan dengan kaedah sains, fizik, bio serta kimia, maka korang dapat dihidupkan kembali setelah jantung korang di renjat dengan elektrik...
Di pendekkan cerita, korang pun terjaga dan terkejut melihat dunia yang lagi banyak berubah, semua orang warna muka mereka sudah lain macam, ada yang warna biru, kuning, merah dan putih..
Korangpun Tanya, kenapa muka korang bewarna warni?
Jawab mereka, “bukankan sekarang Malaysia ni dah jadi tuan rumah piala dunia?, kita kenalah raikan bersama, sebab tu kami kaler muka kami dengan warna bendera, abangpun kenalah colour jugak!, lalu mereka pun menyanyi.. “bola..bola..bola..”.., “peteh Malaysia peteh..”
Arghh, korangpun jadi sasau.., lalu menjerit.., tolong!!!!
Tiba tiba badan korangpun bergoncang.., makin lama makin kuat..,
“bang bangun bang, dah dekat nak subuh dah ni..”
Oh, rupanya korang bermimpi.., jam menunjukkan waktu 4 pagi.., korang rupanya rakyat Malaysia, dan tahun sekarang adalah 2010.., dunia belum kiamat..
“Terima kasih sayang, kejut abang, solat tahajjud..”
“Pandailah abang buat lawak, kan abang suruh saya kejutkan abang malam ni sebab nak tengok final piala dunia..”
“Oh, ye ke?,”
Korangpun bangun, pergi kencing, lalu duduk depan TV sambil tersengih sengih...
Siapa yang bakal menang?
Spanish atau iblis? kita jumpa di saf permata masjid subuh nanti..
Ps:Aku doakan korang sembuh dari demam bola dan dapat demam ugama, dan mati kerana demam ugama.., amin.., errr, doakan aku sama.
Peristiwa Israk Mikraj - 27 Rejab
Bismillahhirahmannirahim,
Allahumma sholli alaa sayyidina muhammad wa aala aalihi washohbihi wassalim
Mafhum Firman Allah S. W. T. : “Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah Al-Israa’: Ayat 1). wallahua’lam..
Peristiwa Israk Mikraj Nabi Muhammad S.A.W. – 27 Rejab
1. Sebelum Israk dan Mikraj
Rasulullah S. A. W. mengalami pembedahan dada / perut, dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika’il. Hati Baginda S. A. W.. dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam (‘alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman. ke dalam dada Rasulullah S. A. W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan “khatimin nubuwwah”. Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan “Israk” itu.
2. Semasa Israk (Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa):
Sepanjang perjalanan (israk) itu Rasulullah S. A. W. diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:
i. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah. ii. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A. S. menerima wahyu daripada Allah; iii. Baitul-Laham (tempat Nabi ‘Isa A. S. dilahirkan);
Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S. A. W. menghadapi gangguan jin ‘Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. Antaranya :
- Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S. A. W. dibertahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad “Fisabilillah” yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.
- Tempat yang berbau harum. Rasulullah S. A. W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Mayitah (tukang sisir rambut anak Fir’aun) bersama suaminya dan anak-anak-nya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir’aun kerana tetapt teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir’aun sebagai Tuhan).
- Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).
- Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.
- Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri / suami.
- Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba`.
- Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.
- Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.
- Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.
- Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.
- Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.
- Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S. A. W. tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke tua.
- Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.
Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia` dan mursalin menjadi makmum.
Rasulullah S. A. W. terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.
3. Semasa Mikraj (Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah):
Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S. A. W. dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).
1. Langit Pertama: Rasulullah S. A. W. dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam A. S. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.
11. Langit Kedua: Nabi S. A. W. dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi ‘Isa A. S. dan Nabi Yahya A. S.
111. Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A. S.
1v. Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A. S.
v. Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A. S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.
v1. Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A. S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.
v11. Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Ma’mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah S. A. W., Nabi Ibrahim A. S. bersabda, “Engkau akan berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha’if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu lah HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH”. Mengikut riwayat lain, Nabi Irahim A. S. bersabda, “Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA lah ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA lah HAULA WA lah QUWWATA ILLA BILLAHIL- ‘ALIYYIL-’AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga”. Setelah melihat beberpa peristiwa! lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).
11x. Tangga Kelapan: Di sinilah disebut “al-Kursi” yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S. A. W. menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S. A. W. dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.
1x. Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S. A. W. masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur ‘Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.
x. Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah S. W. T. dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:
Allah S. W. T : Ya Muhammad. Rasulullah : Labbaika. Allah S. W. T : Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan. Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan ‘Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan. Allah S. W. T : aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah ‘Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.
4. Selesai munajat, Rasulullah S. A. W. di bawa menemui Nabi Ibrahim A. S. kemudian Nabi Musa A. S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S. A. W. merayu kepada Allah S. W. T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.
5. Selepas Mikraj
Rasulullah S. A. W. turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu’alam.
(Sumber : Kitab Jam’ul-Fawaa`id) Kesimpulannya, peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah dan takut kepada kekuasaan-Nya.
Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka.
Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah Subhanahu Wataala. Allah Subhanahu Wataala telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.
Saturday, July 10, 2010
Sunday, July 4, 2010
Saturday, July 3, 2010
Subscribe to:
Posts (Atom)